Rabu, Mei 13, 2009

Ulama Besar dari Patani

Ahmad Fathy al-Fatani
RM45.00
Penerbit UKM

Negeri Patani termasuk antara beberapa buah negeri di Semenanjung Melayu yang melahirkan ramai para ulama. Nama-nama ulama dengan laqab al-Fatani ini cukup lumrah ditemui, apa lagi kalau kita rajin menyemak 'kitab-kitab kuning' karangan mereka.

Buku ini mengandungi sejumlah 40 tarjim ulama-ulama besar negeri Patani dalam jarak waktu antara penghujung abad ke-18 hingga penghujung abad ke-20, dimulai dengan tokoh pertama Syeikh Daud al-Fatani (wafat pada 1847) dan diakhiri dengan Ayah Dir (wafat pada 1991).

Sepanjang tempoh dua abad lebih sedikit ini, negeri Patani menyaksikan kemunculan ramai tokoh-tokoh ulama terkemukanya yang datang silih berganti mengambil tempat dan memainkan peranannya yang sangat besar dalam sejarah negerinya, tak hanya dalam bidang agama, akan tetapi juga dalam bidang ilmu, pemikiran, politik dan pembentukan sistem nilai dan budaya hidup masyarakatnya.

Patani (atau selatan Thai) hari ini lebih dikenali dari sisi-sisi negatif, tempat orang melepas nafsu, lubuk judi, sabung ayam mahupun laga orang. Dan pelbagai tanggapan negatif lagi.Sememangnya gambaran sedemikian amat mengecewakan orang Patani. Namun orang Patani harus menerimanya.

Jika dahulu Patani lebih tersohor sebagai pusat pendidikan Islam Nusantara yang dipelopori para ulama dan institusi pondoknya sejak abad ke-18 lagi. Kini era globalisasi dan pemodenan yang datang samaada dari Bangkok mahupun dari luar telah meminggirkan terus institusi pondok Patani dari arus perdana serantau sebagai tempat percambahan ilmu.

Hari ini kita tidak mendengar lagi akan karangan-karangan kitab baharu dari ulama Patani. Kering atau seolah-olah ulama Patani sudah berhenri tinta penanya. Bahkan Patani sebagai serambi Mekah semakin dilupakan. Mujur kitab-kitab 'kuning' peninggalan ulama berlaqab al-Fathani masih ditelaah sampai hari,sekurang-sekurangnya menjadi penyambung dalam megekalkan corak pemikiran Islam masyarakat Patani dari terhakis atau sekarang sedang dikikis oleh unsur-unsur tidak cocok dengan Islam.

Atas rasa tanggungjawab, penulis sejarah asal Patani, Ahmad Fathy al-Fatani menjelajah ke pondok-pondok dan melacak dari pelbagai sumber untuk menyusun sebuah buku yang menghimpunkan 15 biodata dan 25 lagi secara ringkas ulama Patani dalam rentang waktu antara penghujung abad ke-18 hingga akhir abad ke-20. Beliau pernah memimpin majalah Pengasoh sebagai editor dan menulis banyak makalah tentang Patani di media cetak.

Usahanya amat istimewa buat peminat sejarah Patani dan sangat penting untuk tatapan generasi baru Patani yang semakin hilang identitinya. Dalam buku terdahulu, Pengantar Sejarah Patani, Ahmad Fathy menjelaskan:" Di Patani saya perhatikan ramai anak-anak muda yang tidak tahu asal muasal mereka lagi. Kerana sudah terlalu lama berada di bawah Siam dan hidup dalam acuan budayanya, orang Patani kini sudah kehilangan minda dan citra Melayunya."

Buku yang meletakkan Syeikh Daud al-Fatani, disusunan pertama amat molek benar kerana jasanya dalam mengembang syiar Islam di Nusantara menerusi penulisan kitab-kitab jawi walaupun bergerak jauh di tanah Hijaz. Keberkatannya tercermin melalui kitab-kitabnya masih tidak jemu-jemu ditadah hingga kini.

Antara kitab-kitab yang masih ditadah ialah Munyah al-Musolli, Furu' al-Masail dan Minhaj al- Abidin. Keindahan sastera dapat dirasai akan karangannya. Misalnya;

"Maka aku pungut akan permatanya dan aku tanggalkan kulitnya supaya terbuka hati yang suka beribadah dan menggemarkan tiap-tiap orang yang abidin yakni yang bersungguh-sungguh pada ibadah dan menolong bagi kebanyakan orang mukmin."( Hidayah al-Muta'alim)

Patani bukan sahaja melahirkan ulama penulis kitab atau ulama yang hanya bergiat di pondok semata-mata, bahkan pernah melahirkan ulama yang berfikiran jauh dalam menjamin survival orang-orang Patani di Thailand. Siapa yang tidak kenal dengan Tuan Guru Haji Sulong? Ulama yang terkenal dengan tuntutan tujuh perkara itu terhadap kerajaan.

Tuntuntannya itu masih relevan hingga hari ini. Tidak seperti kebanyakan ulama lain, beliau boleh dianggap tokoh pembaharuan dalam masyarakat Patani terutama pendidkan. Beliau telah menubuh madrasah yang lebih bersistem seperti sekolah moden termasuk adanya aktiviti kawad atau perbarisan. Ia sesuatu yang asing kepada masyarakat masa itu yang begitu menebal dengan tradisi pondok.

Walau bagaimanapun, sekolah tersebut terpaksa "katup" atas arahan kerajaan Thai kerana prejudis niat Haji Sulong. Kehilangan secara misteri selepas bertemu dengan pegawai polis di Songhkla menjadi titik tolak kejadian kehilangan para ulama dan pemimpin Islam hingga hari ini. Sejak itu sampai hari ini masyarakat Patani kurang percaya kepada siasatan kerajaan Thai. Terdekat seperti kehilangan peguam Muslim, Somchai Neelhaipaijit.

Selain itu buku ini juga memuat tokoh yang cukup kontroversi sehingga menimbul perpecahan dikalangan masyarakat sampai wujud dua aliran masjid di Patani. Ulama yang batang tubuhnya digelar Haji Abdullah Bendang Kebun terkenal dengan kelantangan, tegas dan berani. " Kalau ia yakin pandangannya benar, ia bersedia menghadapi lawan, walaupun sampai bertarik baju,'' tegas seorang anak muridnya.

Ahmad Fathy al-Fatani, editor majalah Pengasuh banyak menulis tentang Patani dalam majalah Pengasuh dan Peristiwa (kedua-duanya terbit di Kota Bharu, Kelantan). Sebelum menghasilkan Ulama Besar dari Patani, beliau telah menulis Pengantar Sejarah Patani yang diterbitkan oleh Pustaka Darussalam, Alor Setar, pada 1994. Edisi Jawi buku Ulama Besar dari Patani ini terbit pada 2001.

Beli di:
http://pkukmweb.ukm.my/~penerbit

1 ulasan:

  1. saya nak beli buku ULAMA BESAR DARI PATANI.Macam mana prosedur nya?

    BalasPadam