Rabu, Jun 15, 2011

Biografi Gemilang Imam Mazhab 4 karya Muhammad Abu Zahrah

Alhamdulillah, akhirnya Berlian Publications Sdn Bhd telah menerbitkan empat buku baru karya seorang ulama' Mesir terkenal, Syeikh Muhammad Abu Zahrah dalam set Biografi Gemilang yang menampilkan kisah Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Hanbali, imam mazhab empat terkenal.

Judul asal buku ini ialah Hayatuhu wa 'Ashruhu, Ara'uhu wa Fiqhuhu bagi setiap imam mazhab.
Imam Abu Hanifah adalah seorang berjiwa besar dan berakhlak tinggi. Beliau seorang yang bijak dalam ilmu pengetahuan. Cekap memberi keputusan dan mempunyai jiwa yang konsisten.

Ketika hayatnya, beliau mengikuti pelbagai perkembangan ilmu pengetahuan, baik di bidang ilmu dan politik mahupun ilmu agama. Zaman beliau dikenali sebagai zaman pertumbuhan politik, agama serta ideologi yang pelbagai.

Abu Hanifah seorang yang luas pemikiran dan banyak ilmu. Tetapi beliau sangat merendah diri dan tidak terpedaya dengan fikirannya sendiri.

Imam Malik, sewaktu hidupnya mengalami dua corak pemerintahan iaitu Ummaiyah dan Abbasiyah, di mana pertelingkahan sengit dua pemerintahan sering berlaku.

Hukum fiqh yang diberikan oleh Imam Malik berdasarkan al-Quran dan hadis. Imam Malik menjadikan hadis sebagai pembantu bagi memahami al-Quran. Beliau juga sangat cermat dalam memberi penerangan dan hukum.

Memetik katanya (dalam halaman 102 buku biografi Imam Malik): “Sebaik-baik perkara, adalah perkara yang jelas. Jika engkau berada antara dua perkara, sementara ada satu daripada keduanya yang membuatmu ragu, maka ambillah yang paling engkau percayai.”

Banyak lagi kisah menarik boleh dikutip daripada keperibadian Imam Malik, begitu juga Imam Syafie yang terkenal sebagai pencetus ilmu usul fikah dan meletak asas serta kaedah yang dijadikan panduan untuk melakukan penggalian hukum. Begitu juga mengenai Imam Ahmad (Imam Hanbali) yang alim dalam ilmu hadis dan fiqh.

1 ulasan:

  1. Salam ukhwah..buku berkisarkan Imam Mazhab sangat bagus diketengahkan kerana semakin dilupakan terutama sekali golongan muda dan golongan yang sibuk dengan urusan dunia..

    BalasPadam